Friday, December 2, 2016

1.0 PENGENALAN
Kecanggihan teknologi dan inovasi pencapaian maklumat atas talian serta pertumbuhan pesat dalam penggunaan komputer kian berkembang maju di seluruh dunia pada masa kini. Begitu juga dengan penggunaan e-dagang yang bakal menjadi satu evolusi dan penanda aras bagi sesebuah negara yang membangun dan maju. Kewujudan e-dagang atau medium elektronik dapat merancakkan pertumbuhan bidang teknologi maklumat dan komunikasi atau ICT khususnya dalam mengimplementasi dan mempraktikkan sistem e-dagang itu sendiri (Syed, 2009). Malah perkembangan penggunaan internet juga semakin luas berkembang dan menjadi tarikan utama generasi muda menggunakan elektronik (e) dalam urusan seharian bukan sahaja dalam sektor e-niaga, e-kerajaan malah termasuklah e-dagang iaitu perbankan, perdagangan, pelaburan bahkan bidang perniagaan dan sebagainya. CARM (2000) mengatakan bahawa komponen yang penting dalam sesebuah perniagaan atau pemasaran terus melalui medium elektronik (e-dagang) adalah pengiklanan promosi melalui laman web internet dan penggunaan e-mail. Perkembangan internet telah banyak menyumbang dalam kemajuan bidang perniagaan dan dilihat sebagai platform kepada entiti perniagaan tanpa halangan kos, masa dan tempat. Ini dapat menambah nilai kehidupan masyarakat terhadap perniagaan yang boleh memberi pulangan yang lumayan jika diuruskan dengan baik.
Terdapat beberapa takrifan tentang e-dagang. Menurut Reynolds (2004) e-dagang didefinisikan sebagai aliran utama secara global dalam membolehkan sesuatu perniagaan menjual barangan dan perkhidmatan terus kepada pengguna. E-dagang juga turut diertikan sebagai suatu perkongsian informasi menerusi rangkaian komputer dan internet dimana adanya proses pembelian, penjualan, pemindahan, perkhidmatan, pertukaran produk dan sebagainya. Botha, Bothma dan Geldenhuys (2008) menyatakan e-dagang sebagai sebuah hubungan yang berlaku antara pelanggan dengan organisasi yang bukan hanya berlaku sekadar hanya berkomunikasi menerusi laman sesawang semata-mata malah turut membolehkan proses pembelian barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh organisasi dilakukan.
Secara umumnya, istilah e-dagang juga boleh ditafsirkan sebagai sebarang aktiviti perniagaan yang dijalankan menggunakan internet sebagai perantaraan dan berlaku dalam laman sesawang secara khususnya. Perubahan nilai mulai berlaku dalam keluarga, sistem ekonomi dan masyarakat di Malaysia tentang kepentingan ICT dan e-dagang. Ini menunjukkan penerimaan masyarakat terhadap teknologi ICT semakin tinggi terutama dalam aplikasi yang dapat meningkatkan pendapatan dalam perniagaan.

1.1 Sejarah Dan Evolusi E-Dagang
Sejak kemunculan internet sejak pertengahan 90-an, dunia telah mengalami transformasi yang signifikan dari segi kaedah perniagaan, ekonomi, sosial dan politik. Misalnya, e-dagang yang dijalankan melalui infrastruktur internet telah menyebabkan lanskap perniagaan berubah secara menyeluruh. Malaysia juga tidak terkecuali dari dunia digital ini walaupun menghadapi pelbagai cabaran dan halangan. Malah, Malaysia juga dikenalpasti sebagai sebuah negara yang berpotensi tinggi serta memiliki peluang yang cerah bagi mengimplementasikan e-dagang di Asia Tenggara walaupun hanya negara yang kecil.
Menurut sejarah, Kotler dan Armstrong (2000) mengatakan internet mula dicipta pada akhir 1960-an oleh Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat dimana ianya hanya untuk membina rangkaian antara makmal-makmal kerajaan, kontraktor dan pemasangan kerajaan sahaja. Seterusnya, bagi membolehkan syarikat berhubung dengan jutaan pelanggan baru dengan kos yang rendah dengan hanya suku daripada kos pengiklanan di media cetak dan televisyen, maka pembangunan World Wide Web (WWW) dibina pada awal 1990-an. Ia lebih mesra pengguna dan menjimatkan kos, malah terus berkembang dengan pesat sehingga ke hari ini. Untuk pengetahuan semua, World Wide Web (WWW) dan internet adalah merupakan infrastruktur e-dagang yang terpenting sebagai medium penghantaran. Perisian yang menyimpan dan mengagihkan ‘web page’ dipanggil pelayan web dimana setiap web page mempunyai alamat yang unik dipanggil URL iaitu Uniform Resource Locator seperti http://www.yahoo.com dan http://www.gmail.com.
Rentetan daripada ledakan teknologi tersebut maka wujud pelbagai cara dan teknik baru yang menarik dalam pemasaran alam maya. Kaedah ini direka bentuk merangkumi bagaimana pihak pembekal, peniaga atau pemasar mempelajari dan menjejaki pelanggan, mencipta perkhidmatan dan pengeluaran, memenuhi kehendak dan keperluan pelanggan, mengagihkan keluaran dengan lebih efektif serta berkomunikasi dengan pelanggan perseorangan mahupun kumpulan besar. Terdapat beberapa jenis e-dagang dalam aktiviti-aktiviti perniagaan melalui internet sebagai medium transaksi antaranya Business to Business, Business to Consumer, Consumer to Business, Business to Employee, Consumer to Consumer dan M-Commerce. Huraian jenis-jenis e-dagang adalah seperti berikut:
i.              Business to Business – Turut dikenali sebagai Electronic Data Interchange atau EDI yang berfungsi melalui hubungan secara terus antara dua bisnes dimana berlaku penghantaran maklumat secara elektronik antara satu sama lain. Aplikasi laman web yang menggunakan kaedah ini adalah eSteel.com.
ii.            Business to Consumer – Merupakan hubungan atau interaksi antara perniagaan dengan pelanggan seperti langkah demi langkah bermula dengan pemilihan barangan yang diperlukan melalui laman web, memasukkan nombor kad kredit dan maklumat penghantaran barangan dan kemudian proses penghantaran barangan ke rumah.
iii.           Consumer to Business – Adalah salah satu aplikasi e-dagang yang membolehkan pengguna membuat sebarang permintaan terhadap servis dari peniaga.
iv.           Business to Employee – Aplikasi ini turut dikenali sebagai ‘Intranet’ yang merupakan pembangunan laman web bagi menyediakan maklumat kepada pekerja-pekerja dalam sesebuah organisasi yang boleh dicapai melalui rangkaian dalam organisasi tersebut. Namun, pengguna diluar rangkaian juga boleh mencapai maklumat tetapi perlu dengan kebenaran organisasi tersebut.
v.            Consumer to Consumer – Medium transaksi ini menyediakan laman untuk hubungan pelanggan dengan pelanggan atau market place seperti laman lelongan seperti eBay.com dan Bolimano.com. Pelanggan yang akan menyenaraikan item-item untuk dijual ke laman lelongan manakala pelanggan lain akan menyertai laman tersebut untuk membuat penawaran.
vi.           M-Commerce – M-Commerce merujuk kepada Mobile Commerce menggunakan peranti digital tanpa wayar untuk membolehkan transaksi secara atas talian contohnya menyambungkan telefon selular dan PDA terus kepada web. Kemudahan ini membolehkan pelbagai transaksi dijalankan termasuk urusan perbankan, tempahan pelancongan, urusniaga saham dan sebagainya.

2.0 PERBINCANGAN
2.1 Kepentingan E-Dagang Dalam Perniagaan
Kecanggihan teknologi maklumat hari ini menyaksikan penggunaan e-dagang sebagai satu alternatif perniagaan yang efektif dalam meningkatkan pasaran dan produktiviti syarikat. Banyak syarikat yang telah berimplementasi dengan produk dan perkhidmatan yang mampu ditawarkan hanya di dalam laman-laman web dan aplikasi-aplikasi tertentu yang boleh dilayari oleh peniaga, pelanggan atau sesiapa sahaja. Penggunaan pemasaran terus melalui medium elektronik e-dagang juga mampu menyumbang kepada ekonomi negara.
Melalui sektor perkhidmatan awam, perlaksanaan e-kerajaan banyak menambah baik dalam menjanjikan perkhidmatan yang lebih sempurna, berkesan dan efisien. Pelaksanaan ‘e-dagang’ dalam konteks e-kerajaan boleh ditafsirkan sebagai satu bentuk perniagaan dalam memperkukuhkan hubungan dalam pembentukan masyarakat dengan kerajaan pemerintah melalui penggunaan infrastruktur teknologi maklumat komunikasi (ICT). Kronologi ini menghidangkan pilihan perkhidmatan awam yang paling cekap dan responsif kepada pengguna melalui sistem pembayaran cukai seperti e-Filling dan e-Stamping, perdaftaran perniagaan, pendaftaran kelahiran, penghantaran tender dan sebagainya seperti e-Khidmat, e-Perolehan, e-Syariah dan lain-lain.
Kepentingan e-dagang merangkumi beberapa sektor penting dalam perniagaan utama seperti peruncitan, pelancongan, kewangan, pendidikan, pengiklanan dan bidang profesional. Kepelbagaian pengaruh dalam penggunaan atas talian e-dagang menawarkan kepelbagaian perkhidmatan dan barangan seperti tempahan tiket wayang atau kapal terbang, pembelian pakaian dan komestik, ubat-ubatan, hadiah majlis hari jadi, buku, muzik dan laman web itu sendiri. Ini bersesuaian dengan penubuhan Koridor Raya Maklumat yang telah mencetuskan transformasi di Malaysia untuk bersaing secara global dengan perubahan dasar ekonomi yang berteraskan k-ekonomi. K-ekonomi merupakan ekonomi yang bertunjangkan ilmu pengetahuan kepada penggunaan maklumat secara bijak untuk meningkatkan taraf ekonomi negara.
Institusi pengajian tinggi sama ada awam atau swasta kini turut menawarkan banyak pilihan pengajian pengkhususan dalam bidang teknologi maklumat seperti e-dagang. Usaha ini diambil bagi meningkatkan pengetahuan generasi muda dalam bidang e-dagang bagi menjaga prestasi, kualiti pelajar dan sebagai satu persediaan pelapis masyarakat menghadapi perkembangan teknologi maklumat dan era k-ekonomi.

2.2 Tahap Penggunaan E-Dagang Di Malaysia
Di Malaysia kaedah e-dagang masih berada di peringkat infancy atau peringkat permulaan. Perkembangan di Malaysia juga dapat diperhatikan apabila menurut CARM (2000) berlaku peningkatan pengguna internet berjumlah 42,000 orang pada tahun 1995 sehingga tahun 1999 seramai 600,000 orang pengguna. Dianggarkan pada tahun 2000, pengguna berdaftar internet berjumlah 5 juta orang di seluruh dunia khususnya dan seramai 2 juta pengguna di Malaysia amya malah angka ini sentiasa bertambah. Menurut perangkaan Kementerian Tenaga, Telekomunikasi dan Multimedia Malaysia sehingga Febuari 2002 tahap penembusan komunikasi asas talian hanya mencapai 22 peratus berbanding laporan Agensi Perdagangan dan Pembangunan PBB (UNCTAD) terhadap negara-negara membangun yang lain sebanyak 33 peratus pada tahun 2001. Statistik ini menunjukkan penggunaan e-dagang di Malaysia masih rendah jika dibandingkan dengan negara maju lain.
Walau bagaimanapun, di peringkat antarabangsa kaedah ini telah lama digunakan. Menurut Hamisah dan Samsudin (2008), penggunaan e-dagang amat memberangsangkan setiap tahun dan sentiasa menunjukkan peningkatan. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa kajian lain yang menunjukkan penggunaan e-dagang di Malaysia masih berada di peringkat awal perkembangan dan tahap aplikasi yang rendah berbanding kebanyakan negara lain yang terlebih dahulu telah mengaplikasikan penggunaan dan amalan e-dagang dalam kehidupan seharian mahupun urusan kerja. Aktiviti e-dagang kemudian dilihat meningkat kepada 27.2 peratus menerusi perkhidmatan kerajaan dan penggunaan internet adalah sebanyak 19.6 peratus pada tahun 2009. Seterusnya meningkat kepada 33.6 peratus pada tahun 2010 (SKMM, 2010).

2.3 Cabaran / Halangan Penggunaan E-Dagang
E-dagang adalah satu perkembangan baru teknologi maklumat yang semakin popular dalam perdagangan global hari ini. Namun, kajian mendapati bahawa masih kurang iaitu hanya 15 peratus usahawan kecil sederhana pada sekitar tahun 1999 yang menjalankan aktiviti jual beli melalui internet. Faktor adalah kerana kurangnya pengetahuan teknikal dalam menjalankan operasi secara atas talian. Walau bagaimanapun, perkembangan e-dagang semakin berkembang kini kerana pengguna agresif dalam menimba ilmu pengetahuan dalam bidang berkaitan perdagangan terus melalui internet ini.
Cabaran yang sering berlaku dalam pengurusan e-dagang adalah jenayah komersial dimana banyak berlaku penipuan dalam penawaran dan pembelian terutama di media sosial seperti Mudah.my, Facebook dan sebagainya. Seringkali terpampang nama-nama scammer dan laporan penipuan di muka buku sebagai tindakan berjaga-jaga terhadap pengguna lain. Antara hal yang terjadi adalah transaksi pembayaran yang telah dilakukan oleh pembeli tetapi pembekal tidak memberi barangan atau perkhidmatan seperti yang dijanjikan. Amat menyedihkan apabila pembeli turut disekat atau di block daripada terus berhubung dengan pembekal setelah transaksi pembayaran berjaya dilakukan oleh bakal pembeli atau pelanggan. Lazimnya, kejadian sebegini lebih kerap terjadi kepada usahawan berskala kecil yang bergerak sendiri berbanding usahawan atau syarikat-syarikat yang berurusan dengan prosedur lengkap dan mempunyai fokus pelanggan yang tertentu sahaja. Ini disokong menerusi kajian SKMM pada tahun 2010 mendapati kepuasan dan kegemaran pengguna membeli di kedai fizikal seperti pasaraya sebanyak 66.3 peratus berbelanja menerusi atas talian menunjukkan pengguna lebih selesa membeli secara bersemuka.
Kebiasaan dalam melakukan transaksi, pengguna diminta memasukkan data peribadi seperti nama, alamat tempat tinggal, nombor telefon serta data kad kredit atau kad debit. Lazimnya, keselesaan pengguna dalam berurusan lebih terletak kepada adanya kedai fizikal berbanding dengan kedai maya. Walau bagaimanapun, terdapat sistem yang dibangunkan oleh Visa International iaitu Secure Electronic Transaction (SET) Protocol dimana Master Card direkabentuk secara spesifik untuk melindungi transaksi pembayaran atas talian. Sijil elektronik (Public-key Cryptogrphy) yang melibatkan peniaga, pihak bank dan pengguna diperlukan bagi setiap pengesahan transaksi e-dagang bagi melindungi maklumat yang bergerak melalui rangkaian web. Proses encryption dan decryption mampu melindungi maklumat kad kredit pelanggan dimana peniaga atau individu lain tidak dapat melihat maklumat hak milik pengguna. Manakala pengguna juga seolah-olah mempunyai dompet digital atau digital wallet sebagai kemudahan dan menyediakan keselesaan kepada pengguna kerana tidak perlu memasukkan maklumat kad kredit pada setiap laman e-dagang.
Seterusnya antara cabaran lain dalam e-dagang adalah rekabentuk visual sesebuah laman web yang turut mempengaruhi kebolehgunaan laman web. Penggunaan penvisualan 3 dimensi secara interaktif mampu memberikan gambaran global terhadap sesebuah laman web atau promosi sesebuah perniagaan dan produk. Pemilihan kebolehgunaan laman (mesra pengguna) atau web usability dimana rekabentuk laman yang memudahkan navigasi dan carian serta meminimumkan masa dan usaha pengguna. Mengikut Egger (2003), kebolehgunaan laman diertikan mengikut spesifikasi tertentu iaitu kemampunan untuk bernavigasi disekitar laman, kemampuan untuk mencari maklumat-maklumat yang dikehendaki dan pengguna boleh memahami struktur laman serta tahu langkah yang perlu dibuat seterusnya. Persoalan yang perlu diambil kira oleh pereka laman web dalam mempromosikan perniagaan adalah membangunkan laman web yang boleh memudahkan pengguna melakukan aktiviti eksplorasi dan carian maklumat. Ini termasuklah perbandingan antara rekabentuk laman dalam versi 2 dimensi, 3 dimensi atau seterusnya.
Kelemahan dalam rekabentuk seperti masa muat turun yang perlahan dan lambat, warna pautan yang tidak selaras, animasi yang berulang, ‘scrolling’ terlalu panjang dan sebagainya juga boleh menjejaskan keuntungan pekedai-pekedai atas talian. Rekabentuk antara muka seperti penjenamaan, kepenggunaan, struktur kandungan (syarikat, produk dan perkhidmatan), pengurusan interaksi, integriti dan sebagainya turut mampu mempengaruhi keputusan pengguna untuk mempercayai dan menjalankan urusniaga e-dagang.

2.4 Faktor-Faktor Pendorong Penggunaan E-Dagang
2.4.1     Pengaruh Sosial
Faktor pertama yang dikira memainkan peranan sangat penting dalam mempengaruhi keinginan seseorang pengguna menggunakan sesebuah aplikasi e-dagang ialah pengaruh sosial. Lazimnya pengguna lebih gemar akan membuat sedikit kajian tentang sebarang cadangan dan saranan yang berkaitan dengan sesuatu perkhidmatan yang dikehendaki dalam talian terlebih dahulu. Kemudian, sebarang maklum balas tentang kepuasan terhadap perkhidmatan tersebut akan dinilai sama ada akan menjalankan urusan perniagaan atas talian atau tidak. Seterusnya mereka akan memberitahu dan menyarankannya kepada rakan yang terdekat untuk turut mencuba dan menggunakan sistem tersebut. Keadaan ini menunjukkan pengaruh sosial turut mendorong penerimaan sesuatu aplikasi seperti e-dagang dalam kehidupan seharian.
Antara faktor lain adalah generasi X dan Y iaitu generasi muda dan pertengahan yang kebanyakan mempunyai pengetahuan yang secara menyeluruh tentang ilmu teknologi maklumat iaitu literasi dalam penggunaan internet seperti e-dagang. Sekaligus menyokong dalam menyediakan negara dan generasi yang mampu membekalkan keperluan dan kehendak dunia dalam pelbagai bidang terutama pemasaran.

2.4.2     Mudah Digunakan
Faktor kedua yang boleh mendorong penggunaan e-dagang adalah kerana mudah digunakan. Ini akan turut memberikan kesan kepada keinginan seseorang untuk membeli menerusi online atau secara offline. Kesibukan urusan kerja atau urusan lain untuk membeli barangan keperluan secara offline membuka peluang kewujudan pembelian barangan ataupun perkhidmatan atas talian antara pembeli dan pembekal. Menurut Grefen (2010), faktor penggunaan IT e-dagang yang mudah berbanding perniagaan tradisional mempunyai ruang lingkup perniagaan yang lebih luas dan cepat.
Menurut McCloskey (2004), faktor mudah digunakan merupakan elemen penting yang memberi kesan secara langsung kepada pengguna sama ada mahu membeli secara online atau sebaliknya. Online katalog elektronik bagi produk yang mengandungi spesifikasi gambar dan lokasi pembelian juga sekaligus dapat menjimatkan masa pembekal dan pembeli. Beberapa kaedah pembayaran yang mudah juga digunakan dalam e-dagang seperti Kad PraBayar, E-Wallet, Kad Debit, Kad Kredit.
E-Wallet atau electronic wallet misalnya memudahkan pengguna menjejak proses pembelian dan maklumat penghantaran hanya dengan satu klik dilakukan pada laman e-dagang, menyimpan cek-cek elektronik, tunai elektronik (e-cash) dan pelbagai maklumat jenis kad kredit yang mana ada antaranya merupakan tajaan bersama daripada bank-bank tertentu. Penambahbaikan perkhidmatan dipertingkatkan dari semasa ke semasa dengan mempiawaikan teknologi e-wallet menggunakan Electronic Commerce Modelling Language (ECML) bagi membolehkan penerimaan yang lebih meluas di kalangan peniaga, Visa Mastercard dan syarikat-syarikat pengeluar e-wallet.
Kad debit pula menawarkan kaedah alternatif seakan sama dengan kad kredit namun nilai wang di dalam akaun akan ditolak setelah pembayaran dibuat. Kemudahan adalah pengguna boleh mengeluarkan wang tunai dari akaun mereka melalui mesin ATM dan menyemak akaun-akaun lain.
Kad PraBayar pula merupakan kad simpan-nilai dengan sejumlah wang yang telah ditetapkan oleh syarikat pengeluar kad tersebut dan terdapat dua jenis sistem kad prabayar iaitu kad prabayar sistem terbuka seperti boleh digunakan di mesin ATM dan sistem kad prabayar adalah sistem tertutup seperti syarikat Starbucks.

2.4.3     Kos
Penglibatan kos yang jauh lebih murah juga turut menjadi faktor yang mendorong penggunaan e-dagang oleh usahawan-usahawan di Malaysia. Perkembangan internet dan teknologi laman web pada masa kini telah dapat mengurangkan banyak kos perbelanjaan namun dalam masa yang meluaskan rangkaian dan kawasan perniagaan. Ini kerana melalui e-dagang, usahawan hanya perlu menyediakan satu laman web atau blog yang mempunyai antara muka yang menarik dengan memberikan maklumat lengkap tentang perniagaan yang dijalankan serta menerangkan beberapa langkah keselamatan ketika menjalankan operasi di rangkaian. Menurut Oliver (1997), antara muka yang menarik dapat memudahkan pengguna mencari dan mengetahui barangan yang diingini seterusnya memilih produk yang memenuhi kehendak mereka.
Elemen-elemen multimedia perlu dalam menonjolkan produk dengan lebih baik bagi menarik minat pengguna melawati laman e-dagang tersebut. Kaedah ini lebih ringkas berbanding kaedah dua dekad lalu menerusi satu teknologi lain iaitu Electronic Data Interchange (EDI) dimana ia melibatkan kos yang tinggi sekaligus menghadkan peniaga kecil dan sederhana untuk menjalankan perniagaan.

2.4.4     Kepercayaan
Faktor kepercayaan sangat penting dan agak rumit dalam aspek e-dagang berbanding dengan perdagangan yang dijalankan secara konvensional kerana melibatkan individu atau pihak yang tidak bersua muka. Penerimaan faktor kepercayaan terhadap sesebuah laman web juga dititikberatkan dengan mengambil kira tahap keyakinan pengguna berdasarkan kepercayaan kepada laman web itu sendiri. Faktor kepercayaan juga komponen penting dalam hubungan sosial dan perniagaan dalam menentukan sifat dan tanggapan sesuatu pihak serta penting kerana melibatkan risiko dan pertukaran barangan menerusi medium elektronik. Faktor Trust atau kepercayaan perlu dikaji untuk melihat sejauh mana keberkesanannya terhadap pengimplementasian aplikasi-aplikasi yang berasaskan e-dagang sama ada ianya mampu meningkatkan tahap kepercayaan pengguna untuk terus berurusan secara atas talian.
Lazimnya, kepercayaan merupakan faktor utama dalam setiap perhubungan termasuk antara penjual dan pembeli mahupun urusan harian individu perseorangan. Dengan kewujudan kepercayaan mampu membolehkan beberapa pihak membina suatu tanggapan terhadap pihak lain yang melaksanakan perniagaan. Hal ini menjadi fokus cabaran utama mengapa pengguna sukar untuk menerima internet dan urusan e-dagang sebagai satu medium perniagaan pada masa kini. Akibat daripada urusan perniagaan atas talian yang melibatkan kemasukan maklumat peribadi, kad debit atau kad kredit, berkemungkinan besar pengguna terdedah kepada penyalahgunaan data yang tidak beretika dan penyebaran maklumat kepada pihak yang tidak sepatutnya. Tanpa disedari pengguna e-dagang, maklumat diri mereka mungkin dapat dikumpul secara automatik dan disalahgunakan walau pun mereka hanya sekadar ‘window shopping’ melalui mana-mana aplikasi e-dagang.
Hal ini menimbulkan pelbagai persoalan dan kemusykilan dalam kalangan pengguna akan sejauh mana tahap keselamatan terhadap maklumat yang diberi supaya tiada penyelewengan dan punca dieksploitasi oleh mana-mana pihak. Kekangan dalam perkembangan e-dagang adalah kurangnya elemen kepercayaan untuk berurusan di atas talian. Kajian oleh Hoffman et al pada tahun 1999 menyatakan hampir 95 peratus pengguna menolak untuk memasukkan maklumat peribadi ke dalam laman web dan 63 peratus daripada jumlah tersebut menyatakan ketidakpercayaan terhadap proses pengumpulan maklumat terbabit. Lazimnya, pengguna lebih meletakkan kepercayaan dan bekerjasama dengan laman web atau syarikat atas talian (online vendors) yang telah lama dibangunkan dan mempunyai jenama serta dikenali ramai seperti eBay.com.

2.4.5     Keselamatan
Walau pun pembayaran mudah e-dagang melalui Kad Kredit amat popular namun kebanyakan pengguna tidak mudah menerima kemudahan ini disebabkan faktor keselamatan seperti pencerobohan kad kredit dan penyalahgunaan maklumat peribadi pengguna. Kebanyakan nombor kad kredit dikodkan dengan digit pemeriksaan dan algoritma yang digunakan adalah untuk membuat pengesahan bagi memastikan sama ada ianya sah sebelum dihantar untuk tujuan pengesahan debit oleh pihak bank.

2.4.6     Pemusatan Teknologi
Pemusatan teknologi merupakan antara faktor yang telah mendesak pemusatan industri melalui sistem perdagangan elektronik. Sistem elektronik ini secara langsung dapat mempromosikan dan menyediakan pilihan kemudahan kepada perdagangan tanpa sempadan. Malah, menurut Kotler dan Armstrong (2000) lagi, internet telah menjadi alat penting sebagai medium dalam e-dagang yang berkembang secara beransur-ansur dari segi saiz, pencapaian global dan kebolehcapaian. Menurut Laudon (2002) e-dagang merupakan salah satu cabang daripada e-bisnes dimana transaksi perniagaan tidak lagi terikat kepada masa dan tempat.

3.0 KESIMPULAN
Senario yang berlaku dalam kepesatan teknologi mengambarkan kepentingan dan keperluan terhadap e-dagang dan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi elektronik terutama bagi setiap penduduk Malaysia yang bakal mencorak masa depan negara. Kepentingan internet sebagai alat perhubungan komunikasi terkini dalam penyebaran ilmu dan maklumat yang lebih pantas dan singkat berbanding medium perhubungan yang lain dilihat amat diperlukan kearah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju yang berkonsepkan sistem pengurusan yang berinformasi setanding negara maju lain. Perkhidmatan maklumat dihujung jari sebagai mekanisme kerajaan elektronik amat membantu dapat menaiktaraf ekonomi rakyat dan negara sekaligus melahirkan ramai usahawan yang bijak dalam pengurusan kewangan dan masa serta lebih produktif.
Kepelbagaian perniagaan dapat dijalankan melalui e-dagang dalam meningkatkan taraf dan struktur ekonomi rakyat di Malaysia dan global. Usahawan dalam bidang hartanah online, pembangunan laman web, sistem affiliate, Internet Marketer (IM) seperti http://jamujeratsuamihq.com, http://kerjakosongbaru.com, http://bolimano.my, http://nutrices.com, http://minyakhitamkereta.com dan sebagainya. Apabila telah ada bukti penerimaan orang ramai yang berjaya atau pun testimoni, maka urusan membeli lebih mudah diikuti oleh pengguna yang lain. Hal ini menunjukkan bahawa seseorang pengguna akan mengenal pasti dan memerhati terlebih dahulu akan keberkesanan urusan perniagaan atas talian. Kemudian barulah seseorang itu mencuba sesebuah aplikasi yang disediakan sama ada ia mudah digunakan atau sebaliknya. Seterusnya akan turut mempengaruhi seseorang pengguna menggunakan sistem tersebut atau memberhentikannya.
Penerimaan ICT sebagai gaya hidup dalam komuniti masyarakat hari ini dilihat sebagai perubahan nilai melalui konsep pemikiran masyarakat hingga kepada sistem ekonomi global. Maka tidak hairanlah trafik pengguna internet dan e-dagang di Malaysia semakin meningkat sekaligus memperlihatkan banyak program pembangunan web dan seminar pemasaran perniagaan yang tumbuh bagai cendawan sekaligus melahirkan ramai usahawan muda yang mempunyai kepakaran dalam bidang ICT dan aplikasi e-dagang. Begitu juga dengan peningkatan permintaan dalam bidang percetakan modul dan buku panduan perniagaan digital, tip dan rahsia menjalankan perniagaan e-dagang dan sebagainya. Kepentingan penggunaan e-dagang mampu mencapai objektifnya iaitu memudahkan proses urusniaga antara pelanggan dan pemilik sistem jika diuruskan dengan baik. Seiring itu, pihak kerajaan juga akan terus menambah baik penyampaian dan kecekapan perkhidmatan perniagaan e-dagang menerusi Rancangan Malaysia Ke-10 (Unit Perancangan Ekonomi, 2011).
Sehubungan itu, perancangan kerajaan yang lebih terperinci diperlukan dalam merangka, memperuntukan, melaksana dan membantu pembinaan infrastruktur serta prasarana dalam memperluaskan dan penyebar luas penggunaan e-dagang di kalangan rakyat. Demikian dengan harapan adanya sistem e-dagang yang diaplikasi dapat memudahkan segala proses kehidupan dan perniagaan.


Sekian, terima kasih.